“Hai! Saya Upin. Yang ini adik saya Ipin!”
— Upin setiap kali memperkenalkan diri kepada orang lain
Upin ialah satu watak utama dan eponim siri Upin & Ipin. Dia merupakan abang kembar kepada Ipin, adik kepada Ros dan cucu kepada Opah. Seorang budak kembar yang riang dan ceria, dia bersama-sama kawan-kawannya hdup dalam satu komuniti Kampung Durian Runtuh. Nama penuh Upin dapat dilihat dari episod Bijak Sifir.
Maklumat peribadi |
Nama sebenar |
Aruffin bin Abdul Salam |
Nama panggilan |
Upin |
|
Budak ‘Assalamualaikum’ (Tok Dalang) |
Kaum |
Melayu |
Jantina |
Lelaki |
Umur |
4 tahun (Musim 1) |
|
5 tahun (Musim 2-kini) |
Warna mata |
Perang |
Rambut |
Hitam |
Pekerjaan |
Pelajar di Tadika Mesra |
Hobi |
Bermain |
|
Belajar |
|
Membantu Tok Dalang |
Status |
Hidup |
Sekutu |
Tadika Mesra |
|
Kampung Durian Runtuh |
Keluarga |
Opah (Nenek) |
|
Ipin (Adik kembar) |
|
Kak Ros (Kakak) |
|
Abdul Salam (Bapa) |
Sejarah
Upin mula ditunjukkan pada episod sulung siri Upin & Ipin. Ketika itu, dia yang berusia empat tahun mula mempelajari erti puasa bersama adik kembarnya, Ipin. Dengan bimbingan daripada Opah dan Kak Ros, mereka berjaya memahami dan mempraktikkan ibadah puasa.
Upin bersama adik kembarnya menginjak usia ke lima tahun pada tahun berikutnya. Kali ini, mereka bersekolah di Tadika Mesra dan berkenalan dengan rakan-rakan dan guru baru. Dari situ, mereka mula mempelajari erti dan cabaran kehidupan.
Rupa
Walaupun Upin dan Ipin merupakan pasangan kembar seiras dan sama-sama berkepala botak, Upin dapat dibezakan dengan Ipin kerana ada sehelai rambut berpilin yang menonjol di atas kepala botaknya, serta sering memakai singlet kuning yang tertera huruf “U”. Warna asas dalam pemakaiannya sehari-hari ialah warna kuning.
Sekiranya dia pergi ke surau, pakaiannya pada permulaan ialah baju Melayu berwarna putih dengan bersongkok dan berketayap pada musim kedua hingga keempat. Namun, bermula musim kelima, pemakaiannya berubah kepada baju Melayu berwarna kuning dengan ketayap yang dapat ditembusi oleh rambutnya yang berpilin.
Pakaiannya ketika Hari Raya Aidilfitri ialah baju Melayu kuning dan bersamping kuning. Songkoknya pula berwarna kuning dengan lilitan renda kuning. Namun, pada promo Hari Raya Aidilfitri 2020, dia memakai tanjak, juga berwarna kuning. Tetapi, pada musim pertama, dia memakai baju Melayu berwarna biru.
Ketika menjadi seorang detektif, pemakaiannya masih sama, iaitu warna kuning. Cuma, dia akan memakai baju kemeja berlengan panjang putih, dengan bertali leher berwarna biru (berlawanan dengan Ipin). Di bahagian luar, dia memakai kot labuh sehingga mencecah paras paha, berwarna kuning. Dia memakai seluar berpetak berwarna perang, dan berkasut hitam. Dia juga memakai topi kuning dan bercermin mata.
Sekiranya aktiviti sukan dan rekreasi berjalan, dia akan memakai baju sukan sekolah berwarna kuning.
Perwatakan
Upin lebih banyak bercakap berbanding Ipin dalam siri. Sebagai abang, Upin banyak menunjukkan sifat keketuaan kepada Ipin, dan lebih banyak mencari akal dan merancang untuk adiknya berbanding yang sebaliknya. Apabila tidak bernakal, Upin turut membetulkan kesilapan Ipin. Upin jarang sekali berjauhan dengan Ipin, menunjukkan bahawa mereka saling memerlukan. Adakalanya dia sanggup turun ke barisan hadapan untuk melindungi adik kembarnya, walaupun sedar akan ancaman nyawanya (dibuktikan di filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal).
Upin juga tidak menyukai suasana kelam kabut apabila berlaku sesuatu masalah. Dia juga amat prihatin dengan kawan-kawannya sehingga terpaksa mengorbankan masa dan peluangnya sendiri. Dia juga menunjukkan sifat kepimpinannya kepada kawan-kawannya. Upin seorang yang mudah diajak untuk bermain, tetapi kadang-kadang bersifat serius apabila ada yang mempermainkannya.
Dia juga sangat mengambil berat perihal kawan-kawannya. Sekiranya ada kawannya yang ditimpa masalah, dia akan segera datang membantu. Sekiranya ada antara mereka yang sedih, dia juga cenderung untuk berasa sedih.
Trivia
- Mengikut konsep awal, Upin hanyalah watak sampingan yang menunjukkan jalan kepada Badrol dan Lim pada filem Geng: Pengembaraan Bermula. Namun, watak Upin akhirnya dijadikan watak eponim dalam siri Upin & Ipin.
- Menurut Hj. Burhanuddin, Pengarah Urusan Les’ Copaque, Upin bersama dengan Ipin dijadikan sebagai watak eponim sebagai percubaan untuk menilai sejauh mana kemampuan Upin dan Ipin diterima oleh masyarakat sebelum filem Geng diterbitkan.
- Upin juga hanya berperanan sebagai penampilan istimewa dalam filem itu. Namun, kepopularitian yang diraih Upin menyebabkan dia diiktiraf sebagai salah seorang daripada empat protagonis dalam filem itu.
- Upin berkongsi pelakon suara yang sama dengan Ipin.
- Upin merupakan watak protagonis pertama dalam animasi Malaysia yang disuarakan oleh perempuan.
- Upin merupakan watak protagonis lelaki pertama yang disuarakan oleh Nur Fathiah Diaz. Dia juga merupakan watak pertama daripada lima watak yang disuarakan oleh Fathiah.
- Sebelum pengunduran Fathiah, Asyiela Putri sudahpun menjadi pengisi suara watak Upin bagi bahasa Inggeris pada musim ketiga.
- Upin dapat dibezakan dengan Ipin melalui rambutnya yang berpilin.
- Setiap kali melakukan sesuatu perkara, Upin akan mendahului dalam semua tindakannya.
- Warna kegemaran Upin ialah warna kuning. Antara beberapa episod yang membuktikan minatnya kepada warna kuning ialah:
- Sayang Kak Ros, musim kedua
- Rasa Sayang, musim keempat
- Warna-Warni, musim kelapan
- Upin Ipin Angkasa, musim kelapan
- Dalam episod Animasi Terakhir, Upin didedahkan sebab mengapa rambutnya berpilin. Rambutnya direka agar kos dapat dikurangkan.
- Tarikh lahir Upin sama dengan Ipin, iaitu pada 16 September.
- Berdasarkan usia Upin dalam musim kedua, kemungkinan tahun kelahiran Upin ialah pada tahun 2003. Namun, pihak produksi tidak menaikkan umur mereka agar jalan cerita dapat berterusan sekaligus tidak menjejaskan jalan cerita Upin & Ipin.
- Cita-cita Upin ialah angkasawan. Walau bagaimanapun, dalam episod Sedia Menyelamat, dia bercita-cita untuk menjadi bomba. Cita-citanya bertukar sekali lagi kepada askar dalam episod Upin & Ipin Kesayanganku sebelum kembali kepada angkasawan semula dalam episod Upin Ipin Angkasa.
- Upin bersama Ipin mempunyai akaun Instagram yang tersendiri.
- Upin juga mempunyai akaun Tik Tok yang dikongsi bersama dengan Ipin.
- Menurut akaun Instagram Upin dan Ipin:
- Upin sudah mahir dalam membaca tulisan Jawi (dibuktikan lebih awal lagi dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal ketika dia membaca mantera keris itu) melalui gambar yang dimuat naik pada setiap hari Jumaat (sempena Hari Jawi di Malaysia).
- Upin mempelajari bahasa Indonesia dengan bantuan Susanti.
- Upin merupakan watak kedua yang paling diminati oleh penonton melalui video yang dimuat naik di YouTube Les’ Copaque.