Melati

Cikgu Melati ialah guru kelas Aman di Tadika Mesra, menggantikan Cikgu Jasmin yang pergi menimba ilmu di Kuala Lumpur mulai episod “Terima Kasih Cikgu!”.

MAKLUMAT PERIBADI
Nama sebenar Melati
Nama panggilan Cikgu Melati
Cikgu
Kaum Melayu
Jantina Perempuan
Umur Tidak diketahui
Warna mata Perang
Rambut Hitam
Pekerjaan Guru bagi kelas Aman di Tadika Mesra
Hobi Menari
Status Hidup
Sekutu Tadika Mesra
Kampung Durian Runtuh
Keluarga Tidak diketahui

Rupa

Cikgu Melati boleh disifatkan sebagai seorang pemudi yang berwajah ayu dan molek dan berbadan ramping. Kepalanya agak kecil dan matanya agak besar jika dibandingkan dengan watak-watak dewasa yang lain.

Perwatakan

Cikgu Melati merupakan seorang guru yang ceria, manis dan peramah. Dia gemar mengangkat isyarat V dekat dahi sewaktu mengajar.

Jasmin

Cikgu Jasmin merupakan guru kelas Aman di Tadika Mesra yang berkhidmat semenjak sebelum hari pertama Upin dan Ipin sekawan bersekolah, hinggalah episod “Terima Kasih Cikgu!”, yang mana dia terpaksa meninggalkan tadika untuk menyambung pelajarannya di Kuala Lumpur dan dia digantikan oleh Cikgu Melati.

MAKLUMAT PERIBADI
Nama sebenar Jasmin
Nama panggilan Cikgu
Cikgu Jasmin
Kaum Melayu
Jantina Perempuan
Umur Tidak diketahui
Warna mata Perang
Rambut Tidak diketahui (memakai sanggul tudung)
Pekerjaan Guru bagi kelas Aman di Tadika Mesra (dahulu)
Pelajar di universiti di Kuala Lumpur
Hobi Tidak diketahui
Status Hidup
Sekutu Tadika Mesra (dahulu)
Keluarga Tidak diketahui

Rupa

Cikgu Jasmin biasanya memakai baju kebaya putih kebiruan dan sanggul tudung putih berbunga biru kabur-kabur. Dia selalu memakai solekan ke kelas, paling ketara sekali pada celah bulu kening dan mata serta pipi.

Perwatakan

Cikgu Jasmin dikenali dengan pembawaannya yang ramah mesra dengan murid-murid. Walaupun begitu, sebagai guru, dia bertindak tegas demi mendisiplinkan murid-murid dan pernah bertempik apabila kelas menjadi terlalu kecoh.

Devi

Devi ialah seorang watak kecil dalam siri Upin & Ipin. Disebabkan peranannya yang kecil, tidak banyak yang diketahui tentang Devi selain bahawa dia berkawan rapat dengan murid-murid perempuan yang lain dari Tadika Mesra iaitu Mei Mei dan Susanti.

MAKLUMAT PERIBADI
Nama sebenar
Nama panggilan Devi
Kaum India
Jantina Perempuan
Umur 5 tahun
Warna mata Perang
Rambut Hitam
Pekerjaan Pelajar di Tadika Mesra
Hobi Bermain bersama kawan-kawan
Status Hidup
Sekutu Tadika Mesra
Keluarga Tidak diketahui

Trivia

  • Dalam musim ke-2, senarai nama murid-murid kelas Aman menyenaraikan pelajar adalah bernama Priya.
  • Tetapi mulai musim ke-4, nama watak adalah bernama Devi seperti yang terdapat di kredit akhir episod Anak Harimau.
  • Watak Priya memakai cekak rambut berwarna jingga. Watak Fathiah juga memakai cekak rambut berwarna merah.
  • Watak Devi tidak memakai cekak rambut.

Ijat

Ijat tidak lancar membaca.
— Penerangan ringkas mengenai Ijat dalam lagu Gembira Bermain

Ijat merupakan salah seorang rakan sekelas Upin dan Ipin. Dia terkenal sebagai watak yang berat mulut dan jarang bercakap.

MAKLUMAT PERIBADI
Nama sebenar Muhammad Izzat
Nama panggilan Ijat
Kaum Melayu
Jantina Lelaki
Umur 5 tahun
Warna mata Perang
Rambut Hitam
Pekerjaan Pelajar di Tadika Mesra
Hobi Bermain bersama kawan-kawan
Status Hidup
Sekutu Tadika Mesra
Kampung Durian Runtuh
Keluarga Ibu Ijat
Pak cik Ijat

 

Rupa

Sedangkan kebanyakan rakan-rakan sekelasnya berwarna kulit sawo matang, kulit Ijat pula sama warnanya dengan Jarjit. Mukanya berbentuk lebih kurang segi empat bujur.

Perwatakan

Oleh sebab kurang pandai atau malu bercakap (tetapi bukannya tidak boleh), Ijat selalunya berkomunikasi dengan mencungap-cungap. Dalam episod “Seronoknya Membaca”, dia juga menunjukkan rasa malu untuk membacakan buku cerita di depan kelas, mungkin disebabkan dia lambat menyerap apa yang diajarkan berbanding murid-murid lain. Dia sering pengsan secara misterius kerana menunjukkan rasa takut.

Kawan Ijat yang paling akrab ialah Dzul yang mampu memahami cungap-cungapannya dan bertindak sebagai “jurubahasa” untuknya.

Dzul

Dzul ialah seorang rakan sekelas Upin dan Ipin. Dia juga merupakan orang yang paling rapat dengan Ijat.

MAKLUMAT PERIBADI
Nama sebenar Dzulkifli
Nama panggilan Dzul
Kaum Melayu
Jantina Lelaki
Umur 5 tahun
Warna mata Perang
Rambut Hitam
Pekerjaan Pelajar di Tadika Mesra
Hobi Bercerita
Bermain bersama kawan-kawan
Status Hidup
Sekutu Tadika Mesra
Kampung Durian Runtuh
Keluarga Nenek Dzul

Rupa

Mukanya berbentuk segi tiga dan berdagu tajam, lengkap dengan rambut bergaya curtained, sama seperti Badrol. Pemakaian Dzul pula ialah baju biru dengan warna biru muda di bahagian dada dan warna biru tua di bahagian lengan.

Perwatakan

Walaupun kurang menonjol dalam cerita Upin & Ipin, namun dia paling terkenal sebagai kawan baik dan “penterjemah” bagi Ijat yang berat mulut. Ini mencerminkan sifat Dzul yang pandai memahami mereka yang sukar difahami orang keramaian.

Dia juga sering mengatakan kata-kata daripada neneknya. Walau bagaimanapun, beberapa kata-katanya itu kadang-kadang tidak pernah langsung disebut oleh neneknya.

Susanti

Susanti ialah seorang rakan sekelas Upin dan Ipin yang berasal dari Jakarta, Indonesia. Dia berpindah ke Kampung Durian Runtuh bersama keluarganya.

MAKLUMAT PERIBADI
Nama sebenar
Nama panggilan Susanti
Adik (Ibu Mail)
Kaum Jawa
Jantina Perempuan
Umur 5 tahun
Warna mata Hitam
Rambut Hitam
Pekerjaan Pelajar di Tadika Mesra
Hobi Mengambil foto
Bermain masak-masak
Status Hidup
Sekutu Kampung Durian Runtuh
Keluarga Ibu dan bapa Susanti (tinggal bersama dengannya)

Rupa

Susanti tampil dengan kulit cerah dan tidak sawo matang macam kebanyakan kawan-kawannya, mungkin kerana bersolek tebal. Ini menunjukkan bahawa dia berasal dari sebuah keluarga yang berada.

Perwatakan

Walaupun bertutur dalam bahasa dan pelat Indonesia, namun bahasa yang digunakannya amat mudah difahami oleh rakan-rakan setempat. Sebagai anak orang berada, Susanti kelihatan agak pandai dengan teknologi berbanding rakan-rakan sekelasnya selaku penduduk kampung.

Trivia

  • Susanti merupakan watak pertama dan satu-satunya rakan baik Upin dan Ipin yang bukan berasal dari Malaysia.
  • Dia berasal dari Jakarta. Dia berpindah ke Kampung Durian Runtuh mengikut ibu bapanya atas urusan perniagaan.
  • Meskipun bertahun dia sudah menetap di Malaysia, dia masih lagi mengekalkan identiti Indonesia yang ada. Hal ini dibuktikan dalam episod Beli, Pakai, Suka yang mana dia menyatakan bahawa dia buatan Indonesia.
  • Sewaktu kali pertama dia berada di Kampung Durian Runtuh, dia tidak tahu untuk menggunakan mata wang Ringgit Malaysia apabila menyerahkan wang sejumlah seribu Rupiah Indonesia kepada Mail dalam episod Berpuasa Bersama Kawan Baru.
  • Dalam episod sama, dia duduk di tempat yang dikosongkan oleh Fathiah sebelum ini. Sebelum ketibaannya, Fathiah duduk di tempat itu. Wataknya ditiadakan bagi memberikan laluan kepada Susanti.
  • Pada permulaan, Susanti bukanlah watak sampingan utama Upin dan Ipin. Namun, bermula sekitar musim 7, dia mula mendapat tempat memandangkan dia merupakan simbol siri Upin dan Ipin di Indonesia.
  • Susanti merupakan duta utama MNCTV, sebuah syarikat penyiar rasmi siri Upin & Ipin di Indonesia bersama Upin dan Ipin.
  • Daripada empat orang pelakon suara bagi watak Susanti, hanya dua daripadanya berasal dari Indonesia iaitu Andhika Astari dan Yohanna Sicilia. Manakala Sarah Nadhirah Azman dan Siti Nor Adwin Safie pula sebenarnya berasal daripada Malaysia. Mereka dipilih kerana mempunyai pelat Indonesia yang sangat bagus.

Mail

Ismail bin Mail, lebih dikenali dengan timangan Mail, ialah salah seorang rakan sekelas Upin dan Ipin.

MAKLUMAT PERIBADI
Nama sebenar Ismail bin Mail
Nama panggilan Mail
Kaum Melayu
Jantina Lelaki
Umur 5 tahun
Warna mata Perang
Rambut Hitam
Pekerjaan Pelajar di Tadika Mesra
Peniaga di bazar
Hobi Berniaga
Bermain bersama kawan-kawan
Status Hidup
Sekutu Tadika Mesra
Keluarga Mail
Keluarga Ibu Mail (Ibu)
Mail (Bapa)
Izham (Abang)
Muharam dan Safar (Sepupu)

Rupa

Bentuk kepala Mail membujur, dihiasi rambut undercut yang bercapah di tengah-tengah pada dahi. Dia selalu memakai kemeja T hijau berleher bulat, bertepi kuning dan berbintang jingga di tengah-tengah, serta seluar pendek biru.

Perwatakan

Dikenali dengan laungan “dua seringgit” ketika berniaga, Mail boleh disifatkan dengan sifat keusahawanan yang utuh. Dia amat mementingkan ketepatan dalam menilai dan menentukan harga barang yang diperdagangkannya, baik ayam goreng mahupun buah-buahan.

Bagaimanapun, pembawaan Mail seakan-akan sedikit megah di depan penonton kerana berbangga sebagai ‘bakal usahawan’ yang pandai berniaga muda-muda lagi. Hubungannya dengan Mei Mei agak dingin. Walau bagaimanapun, mereka berdua selalu membantu antara satu sama lain apabila memerlukan.

Dia juga seorang yang selalu bersikap bersahaja dan tenang diantara rakan rakannya. Gayanya yang selalu memeluk tubuh sudah cukup sebagai bukti yang dia sukakan kehidupan yang santai.

Dia juga seorang budak yang berdikari di lingkungan usianya. Walaupun dia mempunyai seorang abang, namun dia tetap akan mencari jalan untuk menjana pendapatan sendiri dengan berniaga.

Trivia

  • Pada permulaan, suara Mail agak garau berbanding dengan kawan-kawannya yang lain (kecuali Jarjit). Walau bagaimanapun, di musim kelapan, suaranya berubah menjadi sedikit kekanakan sehingga disedari oleh Upin.
  • Satu perkara yang menjadi keunikan buat Mail ialah apabila dia berniaga. Semua barangannya akan dijual pada harga RM 1 untuk dua barangan.

Fizi

Muhammad Al-Hafezzy, lebih mesra dipanggil Fizi, ialah salah seorang rakan Upin dan Ipin. Dia juga akrab dan sering kelihatan bersama Ehsan.

MAKLUMAT PERIBADI
Nama sebenar Muhammad Al-Hafezzy bin Yusoff
Nama panggilan Fizi
Kaum Melayu
Jantina Lelaki
Umur 4 tahun (Musim 1)
5 tahun (Musim 2-kini)
Warna mata Hitam
Rambut Hitam
Pekerjaan Pelajar di Tadika Mesra
Hobi Bermain bersama kawan-kawan
Status Hidup
Sekutu Keluarga Fizi
Tadika Mesra
Kampung Durian Runtuh
Keluarga Ibu Fizi
Sepupu Fizi

Rupa

Sifat luaran Fizi yang paling ketara di kalangan yang sebayanya ialah wajahnya yang kurang berisi berbanding kawan-kawannya, dengan dagu yang tajam. Perbezaan itu makin ketara apabila dibandingkan dengan Ehsan yang gempal dari pangkal ke hujung.

Perwatakan

Fizi terkenal sekali kerana suka mentertawakan kawan-kawannya, terutamanya sekali Ehsan dengan gelaran “Intan Payung”, kerana itulah timangan yang juga dipakai oleh bapa Ehsan untuk anaknya itu. Biarpun dengan sikap itu, kawan-kawannya tidak kisah berkawan dengannya.

Kadang-kadang, Fizi cenderung untuk terlepas cakap. Pada asalnya, dia bersifat sedikit pemalu. Namun, semakin lama, dia mula memberanikan diri untuk lebih peramah, walaupun kadang-kadang sifat ramahnya itu melebihi batasnya.

Trivia

  • Ciapan di Twitter yang menyatakan permohonan maaf Fizi kepada Upin dan Ipin selepas kejadian di episod Syahdunya Syawal merupakan ciapan yang paling popular di Malaysia sepanjang tahun 2020.

Ehsan

Ehsan bin Azzarudin ialah salah seorang kawan karib Upin dan Ipin. Dia juga akrab dengan Fizi dan mereka sering tampil bersama-sama.

MAKLUMAT PERIBADI
Nama sebenar Ehsan bin Azzaruddin
Nama panggilan Ehsan
Intan Payung (Azzaruddin dan Fizi)
Kaum Melayu
Jantina Lelaki
Umur 5 tahun
Warna mata Hitam
Rambut Putih dengan sedikit uban putih
Pekerjaan Pelajar di Tadika Mesra
Hobi Bermain bersama kawan-kawan
Makan
Status Hidup
Sekutu Keluarga Upin & Ipin
Kampung Durian Runtuh
Keluarga Azzarudin (Bapa)
Fizi (Sepupu)

 

Rupa

Ehsan terkenal kerana bentuk badannya yang lebih gempal daripada kawan-kawannya yang langsing-langsing belaka, dan juga memakai kaca mata berbingkai hitam yang tebal. Pada musim pertama, Ehsan memakai baju kemeja T berwarna ungu. Sebagai ketua kelas di Tadika Mesra, dia juga memakai tali leher kupu-kupu bersama pakaian seragamnya.

Pemakaiannya ketika hari raya dan ketika di surau adalah berbeza. Pakaiannya ketika hari raya ialah baju Melayu berwarna jingga secara keseluruhannya. Manakala di surau, dia akan memakai baju Melayu berwarna merah tua, juga bersongkok.

Dalam mod detektif, dia juga memakai baju berasaskan warna jingga. Dia memakai baju kemeja berwarna jingga yang sedikit terang, tali leher berwarna jingga, dan ves jingga. Di bahagian luar, dia memakai kot yang dilapisi oleh kain seakan-akan mantel di bahagian belakang bahunya. Corak kain mantelnya berasaskan corak yang sama di bahagian hadapan baju yang biasa dipakainya. Dia juga memakai seluar yang berwarna perang, dan bertopi jingga.

Sekiranya aktiviti sukan dan rekreasi berjalan, dia akan memakai baju sukan sekolah berwarna jingga.

Perwatakan

Sebagai ahli keluarga kaya, Ehsan terkenal dengan beberapa sifat kurang elok yang dikaitkan dengan latar belakangnya, iaitu bermanja, suka menunjuk-nunjuk, dan cerewet dalam hal-hal yang penting kepadanya. Dia juga kuat makan orangnya, dan dia tidak suka membazir makanan atau lihat sesiapa membazirnya. Tanggungjawabnya sebagai ketua kelas juga melahirkan sikap suka mengarah yang serba sedikit dalam diri Ehsan.

Tok Dalang

Waalaikumussalam… ha, kenapa?
— Tok Dalang setiap kali Upin dan Ipin datang ke rumahnya

Tok Dalang (nama sebenar: Isnin bin Khamis) ialah penghulu Kampung Durian Runtuh. Dia juga disegani sebagai juara wayang kulit, seperti yang diperlihatkan dalam filem Geng: Pengembaraan Bermula, maka gelarannya Tok Dalang.

Tok Dalang adalah jiran sebelah keluarga Upin dan Ipin yang tinggal di rumah berwarna biru. Dia tinggal keseorangan dalam rumahnya kerana anak cucunya tinggal di bandar.

Maklumat peribadi
Nama sebenar Isnin bin Khamis
Nama panggilan Atok (Upin, Ipin dan kawan-kawan)
Tok Dalang (Salleh, Ah Tong dan Muthu)
Alang (Opah)
Kaum Melayu
Jantina Lelaki
Umur Tidak diketahui (Warga emas)
Warna mata Perang
Rambut Putih dengan sedikit uban putih
Pekerjaan Ketua Kampung Durian Runtuh
Pemilik Inap Desa Tok Dalang
Hobi Bercucuk tanam
Membuat wau dan layang-layang
Status Hidup
Sekutu Keluarga Upin & Ipin
Kampung Durian Runtuh
Keluarga Badrol (Cucu lelaki)
Tajol (Anak lelaki)

 

Rupa

Tok Dalang sering tampil dengan kopiah dan pakaian serba kelabu. Dia selalu membiarkan bajunya tidak dipasang butang sehingga mendedahkan dadanya yang kurus kering hingga nampak tulang rusuk. Walau bagaimanapun, dalam episod Terawih, dia memakai pakaian dalam berwarna kelabu.

Bermula episod Hasil Tempatan dan episod-episod seterusnya, Tok Dalang memakai singlet putih untuk menutupi bahagian dadanya.

Perwatakan

Dalam musim pertama, perwatakan Tok Dalang kelihatan kurang mesra dengan kanak-kanak yang selalu mengusiknya, terutamanya apabila mereka mengejar Rembo, ayam belaannya di serata kampung.

Akhir-akhir ini, Tok Dalang lebih mesra dengan kanak-kanak, termasuklah yang nakal. Dia mengalu-alukan bantuan Upin, Ipin dan kawan-kawan dalam bermacam-macam perkara, mungkin disebabkan usianya yang lanjut.

Dia juga mahir dalam bidang sukan apabila melatih Upin dan Ipin bermain badminton. Dia juga melatih kawan-kawan Upin dan Ipin bermain bola beracun. Namun, dia seringkali mengalami sakit tulang belakang apabila melatih mereka sehingga menyebabkan latihan terhenti.

Pekerjaan

  • Ketua Kampung: Selain memimpin kampung, tugasnya adalah mengumpul zakat fitrah daripada penduduk kampung yang beragama Islam sempena Ramadan.
  • Pertanian: Di halaman rumahnya ada beberapa pokok rambutan dan reban ayam yang dijadikan punca makanan dan pendapatan. Dia juga mempunyai sebuah dusun durian dan kelapa di pinggiran kampung yang ditujuinya dengan menunggang basikal atau motosikal.
  • Penternakan: Tok Dalang mengusahakan penternakan ayam di kawasan rumahnya. Ayam-ayamnya dijaga sebelum dijual kepada orang lain seperti Mail.
  • Pertukangan: Tok Dalang ada sebuah bengkel di bawah rumahnya, di mana dia membuat bermacam-macam benda, apalagi yang diingini oleh Upin dan Ipin. Dia juga membuat barangan daripada hasil tani di dalam mahupun halaman rumah.
  • Kesenian: Tok Dalang digelar sedemikian kerana mahir dalam wayang kulit, bahkan pernah banyak memenangi pertandingan wayang kulit. Selain itu dia pandai membuat kraf tangan, mainan dan hasil seni seperti wau dan gasing. Dia juga merupakan juara kompang Kampung Durian Runtuh dan bertanggungjawab melatih Upin dan Ipin dan kawan-kawan cara bermain kompang.
  • Pelancongan: Tok Dalang memiliki sebuah inap desa di kawasan dusun yang dinamakan Inap Desa Tok Dalang.

Trivia

  • Tok Dalang juga dikenali sebagai ‘Raja Pantun’. Dia memenangi pertandingan pantun nasihat, pantun jenaka, pantun agama, pantun adat, pantun orang muda, dan pantun teka-teki.
  • Tok Dalang mempunyai minat yang mendalam dalam barang antik. Dia menyimpan sejumlah barang antik dalam kuantiti yang banyak.
  • Dalam episod Kenangan Mengusik Jiwa, Tok Dalang didedahkan sangat menggemari filem-filem P. Ramlee. Ini dibuktikan dengan sejumlah CD filem P. Ramlee yang banyak di ruang tamu rumahnya.
  • Dalam filem Geng: Pengembaraan Bermula, nama Tok Dalang ialah Senin bin Kamis. Walau bagaimanapun, namanya ditukar kepada Isnin bin Khamis pada musim ke-11.
  • Tok Dalang berkongsi tarikh lahir yang sama dengan pengisi suaranya, iaitu pada 4 September.
  • Dalam episod Jom Hidup Sihat, Tok Dalang didedahkan bahawa:
    • Berat badannya ialah 70 kg.
    • Tingginya 170 cm.
    • Indeks Jisim Badannya berada pada tahap normal.
  • Dalam filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Tok Dalang mendedahkan bahawa dia menyimpan Keris Siamang Tunggal yang diperoleh secara misteri. Tidak diketahui bagaimana dia boleh memperoleh keris tersebut sedangkan keris itu ditempa dari alam yang lain.
  • Bagi musim 12, tiga episod disuarakan oleh Ahmad Kamel Mahmud yang turut memegang watak sebagai Aki, seorang watak dalam siri Pada Zaman Dahulu. Manakala selebihnya disuarakan oleh Hj. Burhanuddin sendiri.